Wednesday, May 6, 2015

MASA DEPAN ICT DALAM PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK

Penggunaan ICT telah menjadi agenda penting dalam sistem pendidikan masa kini. Penggunaan ICT dalam P&P kini telah diiktiraf sebagai salah satu pendekatan P&P dalam kelas prasekolah di samping lain-lain pendekatan P&P prasekolah. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata kurikulum baru yang digubal menggabungkan elemen kreativiti, inovasi dan kemahiran hidup dalam proses P&P, membabitkan semua mata pelajaran, adalah sebahagian agenda kerajaan untuk menyediakan pendidikan berkualiti untuk semua. Tan Sri Muhyiddin berkata usaha untuk menggabungkan lebih banyak aspek kreativiti dan inovasi dalam sistem pendidikan negara tidak akan sempurna tanpa dimasukkan peranan ICT. Beliau berkata penggunaan ICT dalam proses P&P telah membolehkan pembelajaran interaktif, yang lebih berkesan dan merangsang minda. (Kosmo Online, April 14, 2010).

Namum begitu, di Malaysia pendekatan ICT masih belum mendapat perhatian yang menggalakkan seperti di negara-negara barat. Dapatan daripada Pelan Rancangan Pendidikan 2001-2010 mendapati antara tahun 1996-2000, daripada 30% guru yang menghadiri kursus ICT hanya segelintir yang menggunakan ICT dalam P&P. Di negara barat pula, penggunaan ICT agak terkenal. Sebagai contoh di negara barat, kebiasaannya ICT seperti video, televisien, perisian multimedia digunakan untuk melibatkan kanak-kanak prasekolah secara aktif dalam proses P&P. Internet juga digunakan untuk membantu P&P. Sebagai contoh, laman web Public Broadcasting Service (PBS) iaitu laman PBS Kids menyediakan pembelajaran literasi yang baik untuk kanak-kanak berumur 3 hingga 8 tahun. Di sini, mereka dapat membaca dan juga mempunyai pelbagai aktiviti. Selain itu, laman National Geographic Kids membekalkan maklumat tentang geografi, penjelajahan, kraf, aktiviti sains dan teknologi untuk kanak-kanak (Bergen, 2001).

Terdapat banyak cara dan teknik guru prasekolah boleh mengintegrasikan ICT dalam P&P. Salah satu caranya ialah menggunakan perisian yang sesuai dengan perkembangan kanak-kanak untuk mencapai objektif pelajaran. Guru perlu kreatif dan bijak dalam memilih bahan ICT yang digunakan dalam P&P. Guru boleh menggunakan ‘freeware’ yang sesuai dengan perkembangan kanak-kanak untuk melengkapi aktiviti-aktiviti P&P dalam prasekolah dan menjadikan pengalaman belajar kanak-kanak prasekolah lebih seronok dan bermakna (Bergen, 2001). Jika dilihat senario ini di Malaysia, guru prasekolah kurang mengintegrasikan ICT dalam P&P atas alasan kekangan masa, kemudahan ICT yang tidak lengkap atau terhad bagi menampung bilangan pelajar yang ramai. Guru prasekolah perlu berusaha mencari jalan untuk mempertingkatkan lagi penggunaan ICT dalam P&P supaya kanak-kanak prasekolah akan mendapat manfaat yang maksimum daripadanya.

Penggunaan ICT dalam P&P merupakan cabaran untuk guru prasekolah (Myhre, 1998). Pendekatan ICT dalam P&P harus dirancang dan dilaksanakan sesuai dengan usia, minat dan tahap perkembangan kanak-kanak. Keberkesanan ICT dalam pendidikan prasekolah bergantung kepada pengetahuan, kemahiran dan sikap guru prasekolah (Haugland & Wright, 1997). Guru adalah agen utama dalam inovasi pendidikan. Mereka merupakan salah satu faktor utama dalam mengadopsi, mengintegrasikan, dan menggunakan ICT di sekolah (Nash & Moroz, 1997). Sikap guru adalah berkaitan rapat dengan keberkesanan penggunaan ICT dalam kelas kerana mereka mempengaruhi pengalaman ICT kanak-kanak di persekitaran sekolah (Simonson, 1995). Kesediaan guru prasekolah untuk mengintegasikan ICT dalam P&P merupakan faktor yang menentukan kejayaan dan keberkesanan penggunaan ICT dalam P&P KSPK.

Oleh itu, boleh dikatakan bahawa keberkesanan penggunaan ICT dalam P&P banyak bergantung kepada guru. Ini membawa kepada masalah seterusnya iaitu berkaitan dengan sikap guru terhadap penggunaan ICT dalam proses P&P. Sikap guru memainkan peranan yang penting bagi memastikan ICT digunakan secara efektif dan juga mempengaruhi tahap keyakinan guru terhadap penggunaan komputer dalam bilik darjah (Delcourt & Kinzie, 1993). Ramai guru yang mengalami perasaan gelisah apabila mereka perlu menggunakan komputer dalam kurikulum (Woodrow, 1991). Sikap negatif iaitu kurang keyakinan diri dan kekurangan guru berkemahiran komputer merupakan halangan serius kepada pengintegrasikan komputer ke dalam bilik darjah. Sekiranya guru tidak rasa cemas menggunakan komputer, maka semakin besar kemungkinan guru mengintegrasikan komputer dalam kurikulum (Dupagne & Krendl, 1992).

Kebanyakan guru prasekolah di Malaysia kurang menggunakan ICT dalam P&P disebabkan masalah yang mereka hadapi. Hannafin dan Savenye telah mengenal pasti beberapa faktor yang menyebabkan guru enggan menggunakan ICT dalam P&P: kelemahan reka bentuk perisian, skeptisisme tentang keberkesanan komputer dalam meningkatkan hasil pembelajaran, kurang sokongan pentadbiran, masa dan usaha yang diperlukan untuk belajar teknologi dan bagaimana menggunakannya untuk mengajar, dan takut kehilangan kuasa mereka di kelas kerana P&P berpusatkan pelajar (Hannafin, 1999; Savenye, 1993). Masalah yang menyumbang kepada kegagalan penggunaan ICT dalam P&P perlu ditangani bagi memastikan pengintegrasian ICT dalam P&P prasekolah mencapai objektif dan matlamatnya.

Kajian-kajian lepas yang didapati adalah kebanyakannya dari negara barat. Di Malaysia kajian penggunaan ICT dalam P&P hanya dibuat di peringkat IPTA, sekolah menengah dan rendah. Setakat ini tiada kajian di peringkat prasekolah yang melihat penggunaan ICT dalam P&P merentas kurikulum KSPK. Jika adapun kajian hanya tertumpu kepada satu mata pelajaran sahaja. Walaupun perkara ini telah dikaji di negara barat, tidak semestinya dapatan kajian mereka sama seperti di prasekolah Malaysia. Ini kerana kurikulum serta kaedah penggunaan ICT dalam P&P di negara Barat berbeza dari kurikulum dan kaedah penggunaan ICT dalam P&P prasekolah di Malaysia. Selain itu latar belakang guru dari segi kursus ikhtisas, kemahiran komputer, latihan yang dihadiri, perkembangan teknologi, kemudahan infrasturktur dan sebagainya di negara Barat tidak sama dengan latar belakang guru di Malaysia. Oleh itu adalah wajar kajian ini dijalankan bagi melihat perubahan sikap guru prasekolah terhadap penggunaan ICT merentas kurikulum setelah 8 tahun pengimplementasian kurikulum prasekolah, untuk melihat sejauh mana guru prasekolah menginterasikan ICT dalam P&P merentas kurikulum serta masalah yang dihadapi mereka sewaktu menggunakan ICT dalam P&P.

Bayhan, Olgun, dan Yelland (2002) telah menjalankan dua kajian untuk melihat penggunaan komputer di prasekolah dan persepsi guru prasekolah terhadap arahan berbantukan komputer (ABK). Dapatan kajian menunjukkan 40% sekolah tidak menggunakan komputer dalam P&P. Mereka juga mendapati hanya 50% sekolah menggunakan ABK untuk tempoh masa 30-45 minit dalam se minggu dan 13.6% daripada 63.6% guna secara purata 5-15 minit sehari. Dalam kajian kedua, mereka telah mengkaji hubungan antara persepsi guru terhadap ABK dan kebolehan menggunakan komputer. Dapatan kajian menunjukkan guru yang mempunyai kelayakan akademik tinggi lebih bersikap positif untuk menggunakan ABK dalam bilik darjah. Guru yang kurang pengalaman menggunakan komputer kurang yakin untuk menggunakan ABK dalam bilik darjah. Guru yang mempunyai kemahiran komputer dan pengalaman menggunakan komputer akan bersikap lebih optimistik menggunakan komputer dalam P&P. Woodrow (1991) dalam kajiannya mendapati guru akan mengalami perasaan gelisah apabila mereka perlu menggunakan komputer dalam kurikulum. Corston dan Colman (1996) dan Hohmann (1994) juga mendapati guru yang berasa kurang yakin dan gelisah lebih cenderung untuk mempunyai sikap negatif terhadap penggunaan ICT dalam P&P dan mereka tidak akan menggunakan ICT dalam P&P. Kurang keyakinan apabila menggunakan ICT serta kurang pengetahuan dan kemahiran ICT dalam kalangan guru merupakan masalah utama dalam pengintegrasian ICT dalam P&P. Guru yang mempunyai sikap positif terhadap penggunaan ICT boleh menggunakan ICT secara lebih efektif.

Sikap guru memainkan peranan penting dalam pengintegrasian ICT dalam P&P. Ini merupakan satu isu yang perlu ditangani bagi memastikan keberkesanan dan kejayaan penggunaan ICT dalam P&P. Tsitouridou dan Vryzaz (2003) telah mengkaji sikap guru prasekolah terhadap penggunaan ICT. Dapatan kajian mereka menunjukkan sikap guru dipengaruhi oleh penggunaan komputer di rumah, pengalaman dan kemahiran komputer serta kursus komputer yang dihadiri. Guru yang mempunyai komputer di rumah mempunyai pengalaman dan kemahiran komputer dan pernah mengikuti kursus komputer tidak berasa gelisah dan mempunyai sikap positif terhadap penggunaan ICT dalam P&P. Kumpulan guru ini akan lebih cenderung menggunakan ICT dalam proses P&P.

Persepsi guru juga memainkan peranan penting dalam menentukan sikap positif terhadap penggunaan ICT dalam P&P. Dapatan kajian menunjukkan persepsi dan sikap guru boleh berubah sekirannya guru diberi latihan atau kursus ICT. Jimoyiannis dan Komis (2006) telah mengkaji kesan kursus ICT terhadap persepsi dan sikap guru terhadap ICT dalam pendidikan. Dapatan kajian mendapati majoriti guru bersikap positif terhadap kepentingan penggunaan ICT sebagai alat P&P. Mereka juga berasa ICT sangat penting dalam sistem pendidikan masa kini. Levin dan Wadmany (2006) pula telah mengkaji persepsi serta amalan guru dalam penggunaan ICT di bilik darjah. Dapatan kajian mereka menunjukkan persepsi guru mula berubah apabila mereka menggunakan ICT dalam bilik darjah. Persepsi guru berubah daripada negatif ke positif dan mereka seterusnya berasa lebih yakin menggunakan ICT dalam bilik darjah.

Kajian juga menunjukkan bahawa guru yang menggunakan pedagogi P&P tradisional tidak akan menggunakan ICT dalam P&P tetapi guru yang mengamalkan pedagogi konstruktivisme akan menggunakan ICT dalam P&P. Menurut Thompson (1992), hubungan antara sikap guru dan amalan pengunaan ICT dalam P&P merupakan hubungan satu hala atau hubungan dinamik 2 hala di mana sikap juga mempengaruhi pengalaman amalan penggunaan ICT dalam P&P.


Dapatan kajian juga telah menunjukkan guru enggan menggunakan ICT dalam P&P atas banyak alasan. Kelemahan reka bentuk perisian, skeptisisme tentang keberkesanan komputer dalam meningkatkan hasil pembelajaran, kurang sokongan pentadbiran, masa dan usaha yang diperlukan untuk belajar teknologi dan bagaimana menggunakannya untuk mengajar, dan takut kehilangan kuasa mereka di kelas kerana P&P berpusatkan pelajar (Hannafin, 1999; Savenye, 1993) adalah diantara beberapa masalah yang telah dikenal pasti. Sikap guru juga merupakan satu faktor yang menentukan keberkesanan penggunaan ICT dalam P&P. Menurut Dawes (1999), guru perlu mempunyai kemahiran komputer terlebih dahulu sebelum mengintegrasikan ICT dalam P&P. Malah, mereka juga perlu mengikuti perkembangan dan perubahan ICT dalam pendidikan. Guru memainkan peranan penting dalam menentukan keberkesanan penggunaan ICT dalam P&P dan seterusnya memastikan objektif KSPK tercapai.

No comments:

Post a Comment