Wednesday, May 6, 2015

ICT DALAM PENDIDIKAN AWAL PERSEKOLAH - KURIKULUM STANDARD PRASEKOLAH KEBANGSAAN

PENDAHULUAN

Pendidikan prasekolah merujuk kepada Akta Pendidikan 1996 ialah program pendidikan bagi murid yang berumur dari 4 hingga 6 tahun (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013). Program dan kegiatannya mengikut garis panduan kurikulum prasekolah yang berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, yang diluluskan oleh Menteri di bawah seksyen 22. Tujuan pendidikan prasekolah ialah untuk memperkembangkan potensi kanak-kanak secara menyeluruh dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial melalui persekitaran pembelajaran yang selamat, menyuburkan serta aktiviti yang menyeronokkan, kreatif dan bermakna. Ini adalah untuk meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri dengan keadaan semasa, boleh menangani cabaran dan tanggungjawab di sekolah rendah kelak (Kurikulum, 2010).

Dalam pendidikan prasekolah, guru harus menggunakan pelbagai pendekatan aktiviti yang sesuai dengan perkembangan diri, kebolehan, keupayaan, bakat serta minat murid. Guru perlu menjalankan aktiviti yang melibatkan murid secara aktif supaya pembelajaran menjadi lebih bermakna, berkesan dan menggembirakan. Aktiviti tersebut perlu dirancang dan dikelolakan secara teliti dan sistematik bagi menjamin setiap murid mendapat peluang yang sama serta memperolehi pelbagai pengalaman pembelajaran sebenar sama ada secara individu, secara kelas ataupun secara kumpulan.

Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (Information and Communications Technology atau ICT) dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) prasekolah merupakan salah satu cara untuk meningkatkan keberkesanan P&P prasekolah. Kanak-kanak hari ini adalah generasi komputer (Papert, 1996). Teknologi boleh memainkan peranan penting dalam proses P&P kanak-kanak (Haugland & Wright, 1997). ICT menawarkan pendekatan baru untuk belajar dan penguasaan kemahiran baru. Oleh itu kanak-kanak perlulah didedahkan kepada ICT dengan cara yang bermakna.

Jika ICT tidak sepenuhnya diintegrasikan ke dalam kurikulum secara keseluruhan, ia boleh meninggalkan kesan negatif ke atas kreativiti kanak-kanak (Haugland, 1992). Menyedari hakikat ini, pada tahun 2002 program ICT (KPM, 2003) prasekolah diberikan keutamaan dan dijadikan sebahagian elemen penting di mana ia bukan sahaja telah diambil kira sebagai salah satu komponen dalam Kurikulum Prasekolah Kebangsaan(KPK) malah pendekatan P&P menggunakan ICT juga diutamakan.

Pada tahun 2008/2009 KPK disemak semula. Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) yang digubal diguna pakai mulai Januari 2010. KSPK digubal dengan memberikan penekanan kepada standard kandungan dan standard pembelajaran yang patut diketahui dan boleh dilakukan oleh kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun. Standard kandungan dan standard pembelajaran berpaksikan pengetahuan, kemahiran asas serta nilai dalam enam tunjang pembelajaran.

Tunjang-tunjang pembelajaran KSPK terdiri daripada :

(a)  Komunikasi
           Tunjang ini terdiri daripada Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Bahasa Malaysia dan Bahasa Inngeris adalah wajib dipelajari oleh semua kanak-kanak prasekolah. Bahasa Cina dan Bahasa Tamil dipelajari oleh kanak-kanak di prasekolah yang beraliran bahasa Cina dan bahasa Tamil. Bahasa Malaysia perlu diajar selama dua jam seminggu, manakala Bahasa Inggeris diajar selama dua jam seminggu di prasekolah yang bahasa pengantarnya Bahasa Malaysia dan satu jam seminggu di prasekolah yang bahasa pengantarnya bukan Bahasa Malaysia.

(b) Kerohanian, sikap dan nilai
Tunjang Kerohanian, Sikap dan Nilai merangkumi pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Pendidikan Islam dipelajari oleh murid beragama Islam selama dua jam seminggu. Pendidikan Moral dipelajari oleh murid lain selama dua jam seminggu.

(c)  Kemanusiaan
Tunjang Kemanusiaan memberi peluang kepada kanak-kanak supaya lebih memahami diri sendiri, lebih memahami perhubungan antara diri dengan keluarga, rakan, komuniti dan alam sekitar. Kanak-kanak juga akan lebih memahami tanggungjawab diri dalam perhubungan-perhubungan ini. Tunjang ini juga memberi penekanan kepada pemahaman budaya dan tradisi pelbagai kaum di Malaysia serta menggalakkan penglibatan dalam perayaan pelbagai kaum ini.

(d) Sains dan teknologi
Tunjang Sains dan Teknologi merangkumi awal sains, awal matematik, aktiviti pembinaan menggunakan objek seperti blok dan penggunaan ICT.

(e)  Perkembangan fizikal dan estetika
Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika merangkumi Perkembangan Fizikal dan Penjagaan Kesihatan serta Perkembangan Kreativiti

(f) Ketrampilan diri
Pendidikan Prasekolah memberi penekanan kepada perkembangan sosioemosi kanak-kanak. Kanak-kanak akan menghadapi masalah di prasekolah dan juga di sekolah rendah kelak jika sosioemosi merangkumi aspek mengenali dan pengurusan emosi sendiri, pencapaian emosi yang positif, pembinaan konsep kendiri yang positif serta pembinaan kemahiran berinteraksi dan kemahiran sosial. Perkembangan sosioemosi berlaku sepanjang masa kanak-kanak berada di prasekolah, ia tidak dicapai melalui aktiviti spesifik tetapi menerusi kesemua aktiviti sama ada aktiviti rutin, semasa rehat, semasa makan dan juga aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lain.


Kurikulum KSPK merupakan kurikulum yang berbentuk modular di mana ia merupakan satu kurikulum yang kandungannya diorganisasikan dan seterusnya disampaikan dalam bentuk bahagian atau unit yang dikenali sebagai modul. Terdapat dua jenis modul iaitu modul teras dan modul bertema. Modul teras terdiri daripada mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina/Bahasa Tamil, Pendidikan Islam/Pendidikan Moral dan Matematik. Modul bertema pula merupakan modul bersepadu yang merangkumi unsur-unsur dalam keenam-enam tunjang pembelajaran dan juga unsur kreatif, kritis dan inovatif. Modul Bertema dibina menggunakan isu kehidupan/peristiwa seharian kanak-kanak.

Guru prasekolah digalakkan menggunakan ICT dalam P&P merentas kurikulum. Pendekatan ICT digunakan untuk membantu proses P&P, memperolehi maklumat, berinteraksi dengan bahan untuk belajar sendiri dan bersama rakan sebaya dan memperkayakan pengalaman pembelajaran. Bagi menjayakan rancangan ini, Kementerian Pelajaran telah membekalkan kelas prasekolah dengan sistem komputer dan perisian untuk digunakan oleh pelajar-pelajar prasekolah (Lim Keat Heng, 2007).



No comments:

Post a Comment