Wednesday, May 6, 2015

MASA DEPAN ICT DALAM PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK

0 comments
Penggunaan ICT telah menjadi agenda penting dalam sistem pendidikan masa kini. Penggunaan ICT dalam P&P kini telah diiktiraf sebagai salah satu pendekatan P&P dalam kelas prasekolah di samping lain-lain pendekatan P&P prasekolah. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata kurikulum baru yang digubal menggabungkan elemen kreativiti, inovasi dan kemahiran hidup dalam proses P&P, membabitkan semua mata pelajaran, adalah sebahagian agenda kerajaan untuk menyediakan pendidikan berkualiti untuk semua. Tan Sri Muhyiddin berkata usaha untuk menggabungkan lebih banyak aspek kreativiti dan inovasi dalam sistem pendidikan negara tidak akan sempurna tanpa dimasukkan peranan ICT. Beliau berkata penggunaan ICT dalam proses P&P telah membolehkan pembelajaran interaktif, yang lebih berkesan dan merangsang minda. (Kosmo Online, April 14, 2010).

Namum begitu, di Malaysia pendekatan ICT masih belum mendapat perhatian yang menggalakkan seperti di negara-negara barat. Dapatan daripada Pelan Rancangan Pendidikan 2001-2010 mendapati antara tahun 1996-2000, daripada 30% guru yang menghadiri kursus ICT hanya segelintir yang menggunakan ICT dalam P&P. Di negara barat pula, penggunaan ICT agak terkenal. Sebagai contoh di negara barat, kebiasaannya ICT seperti video, televisien, perisian multimedia digunakan untuk melibatkan kanak-kanak prasekolah secara aktif dalam proses P&P. Internet juga digunakan untuk membantu P&P. Sebagai contoh, laman web Public Broadcasting Service (PBS) iaitu laman PBS Kids menyediakan pembelajaran literasi yang baik untuk kanak-kanak berumur 3 hingga 8 tahun. Di sini, mereka dapat membaca dan juga mempunyai pelbagai aktiviti. Selain itu, laman National Geographic Kids membekalkan maklumat tentang geografi, penjelajahan, kraf, aktiviti sains dan teknologi untuk kanak-kanak (Bergen, 2001).

Terdapat banyak cara dan teknik guru prasekolah boleh mengintegrasikan ICT dalam P&P. Salah satu caranya ialah menggunakan perisian yang sesuai dengan perkembangan kanak-kanak untuk mencapai objektif pelajaran. Guru perlu kreatif dan bijak dalam memilih bahan ICT yang digunakan dalam P&P. Guru boleh menggunakan ‘freeware’ yang sesuai dengan perkembangan kanak-kanak untuk melengkapi aktiviti-aktiviti P&P dalam prasekolah dan menjadikan pengalaman belajar kanak-kanak prasekolah lebih seronok dan bermakna (Bergen, 2001). Jika dilihat senario ini di Malaysia, guru prasekolah kurang mengintegrasikan ICT dalam P&P atas alasan kekangan masa, kemudahan ICT yang tidak lengkap atau terhad bagi menampung bilangan pelajar yang ramai. Guru prasekolah perlu berusaha mencari jalan untuk mempertingkatkan lagi penggunaan ICT dalam P&P supaya kanak-kanak prasekolah akan mendapat manfaat yang maksimum daripadanya.

Penggunaan ICT dalam P&P merupakan cabaran untuk guru prasekolah (Myhre, 1998). Pendekatan ICT dalam P&P harus dirancang dan dilaksanakan sesuai dengan usia, minat dan tahap perkembangan kanak-kanak. Keberkesanan ICT dalam pendidikan prasekolah bergantung kepada pengetahuan, kemahiran dan sikap guru prasekolah (Haugland & Wright, 1997). Guru adalah agen utama dalam inovasi pendidikan. Mereka merupakan salah satu faktor utama dalam mengadopsi, mengintegrasikan, dan menggunakan ICT di sekolah (Nash & Moroz, 1997). Sikap guru adalah berkaitan rapat dengan keberkesanan penggunaan ICT dalam kelas kerana mereka mempengaruhi pengalaman ICT kanak-kanak di persekitaran sekolah (Simonson, 1995). Kesediaan guru prasekolah untuk mengintegasikan ICT dalam P&P merupakan faktor yang menentukan kejayaan dan keberkesanan penggunaan ICT dalam P&P KSPK.

Oleh itu, boleh dikatakan bahawa keberkesanan penggunaan ICT dalam P&P banyak bergantung kepada guru. Ini membawa kepada masalah seterusnya iaitu berkaitan dengan sikap guru terhadap penggunaan ICT dalam proses P&P. Sikap guru memainkan peranan yang penting bagi memastikan ICT digunakan secara efektif dan juga mempengaruhi tahap keyakinan guru terhadap penggunaan komputer dalam bilik darjah (Delcourt & Kinzie, 1993). Ramai guru yang mengalami perasaan gelisah apabila mereka perlu menggunakan komputer dalam kurikulum (Woodrow, 1991). Sikap negatif iaitu kurang keyakinan diri dan kekurangan guru berkemahiran komputer merupakan halangan serius kepada pengintegrasikan komputer ke dalam bilik darjah. Sekiranya guru tidak rasa cemas menggunakan komputer, maka semakin besar kemungkinan guru mengintegrasikan komputer dalam kurikulum (Dupagne & Krendl, 1992).

Kebanyakan guru prasekolah di Malaysia kurang menggunakan ICT dalam P&P disebabkan masalah yang mereka hadapi. Hannafin dan Savenye telah mengenal pasti beberapa faktor yang menyebabkan guru enggan menggunakan ICT dalam P&P: kelemahan reka bentuk perisian, skeptisisme tentang keberkesanan komputer dalam meningkatkan hasil pembelajaran, kurang sokongan pentadbiran, masa dan usaha yang diperlukan untuk belajar teknologi dan bagaimana menggunakannya untuk mengajar, dan takut kehilangan kuasa mereka di kelas kerana P&P berpusatkan pelajar (Hannafin, 1999; Savenye, 1993). Masalah yang menyumbang kepada kegagalan penggunaan ICT dalam P&P perlu ditangani bagi memastikan pengintegrasian ICT dalam P&P prasekolah mencapai objektif dan matlamatnya.

Kajian-kajian lepas yang didapati adalah kebanyakannya dari negara barat. Di Malaysia kajian penggunaan ICT dalam P&P hanya dibuat di peringkat IPTA, sekolah menengah dan rendah. Setakat ini tiada kajian di peringkat prasekolah yang melihat penggunaan ICT dalam P&P merentas kurikulum KSPK. Jika adapun kajian hanya tertumpu kepada satu mata pelajaran sahaja. Walaupun perkara ini telah dikaji di negara barat, tidak semestinya dapatan kajian mereka sama seperti di prasekolah Malaysia. Ini kerana kurikulum serta kaedah penggunaan ICT dalam P&P di negara Barat berbeza dari kurikulum dan kaedah penggunaan ICT dalam P&P prasekolah di Malaysia. Selain itu latar belakang guru dari segi kursus ikhtisas, kemahiran komputer, latihan yang dihadiri, perkembangan teknologi, kemudahan infrasturktur dan sebagainya di negara Barat tidak sama dengan latar belakang guru di Malaysia. Oleh itu adalah wajar kajian ini dijalankan bagi melihat perubahan sikap guru prasekolah terhadap penggunaan ICT merentas kurikulum setelah 8 tahun pengimplementasian kurikulum prasekolah, untuk melihat sejauh mana guru prasekolah menginterasikan ICT dalam P&P merentas kurikulum serta masalah yang dihadapi mereka sewaktu menggunakan ICT dalam P&P.

Bayhan, Olgun, dan Yelland (2002) telah menjalankan dua kajian untuk melihat penggunaan komputer di prasekolah dan persepsi guru prasekolah terhadap arahan berbantukan komputer (ABK). Dapatan kajian menunjukkan 40% sekolah tidak menggunakan komputer dalam P&P. Mereka juga mendapati hanya 50% sekolah menggunakan ABK untuk tempoh masa 30-45 minit dalam se minggu dan 13.6% daripada 63.6% guna secara purata 5-15 minit sehari. Dalam kajian kedua, mereka telah mengkaji hubungan antara persepsi guru terhadap ABK dan kebolehan menggunakan komputer. Dapatan kajian menunjukkan guru yang mempunyai kelayakan akademik tinggi lebih bersikap positif untuk menggunakan ABK dalam bilik darjah. Guru yang kurang pengalaman menggunakan komputer kurang yakin untuk menggunakan ABK dalam bilik darjah. Guru yang mempunyai kemahiran komputer dan pengalaman menggunakan komputer akan bersikap lebih optimistik menggunakan komputer dalam P&P. Woodrow (1991) dalam kajiannya mendapati guru akan mengalami perasaan gelisah apabila mereka perlu menggunakan komputer dalam kurikulum. Corston dan Colman (1996) dan Hohmann (1994) juga mendapati guru yang berasa kurang yakin dan gelisah lebih cenderung untuk mempunyai sikap negatif terhadap penggunaan ICT dalam P&P dan mereka tidak akan menggunakan ICT dalam P&P. Kurang keyakinan apabila menggunakan ICT serta kurang pengetahuan dan kemahiran ICT dalam kalangan guru merupakan masalah utama dalam pengintegrasian ICT dalam P&P. Guru yang mempunyai sikap positif terhadap penggunaan ICT boleh menggunakan ICT secara lebih efektif.

Sikap guru memainkan peranan penting dalam pengintegrasian ICT dalam P&P. Ini merupakan satu isu yang perlu ditangani bagi memastikan keberkesanan dan kejayaan penggunaan ICT dalam P&P. Tsitouridou dan Vryzaz (2003) telah mengkaji sikap guru prasekolah terhadap penggunaan ICT. Dapatan kajian mereka menunjukkan sikap guru dipengaruhi oleh penggunaan komputer di rumah, pengalaman dan kemahiran komputer serta kursus komputer yang dihadiri. Guru yang mempunyai komputer di rumah mempunyai pengalaman dan kemahiran komputer dan pernah mengikuti kursus komputer tidak berasa gelisah dan mempunyai sikap positif terhadap penggunaan ICT dalam P&P. Kumpulan guru ini akan lebih cenderung menggunakan ICT dalam proses P&P.

Persepsi guru juga memainkan peranan penting dalam menentukan sikap positif terhadap penggunaan ICT dalam P&P. Dapatan kajian menunjukkan persepsi dan sikap guru boleh berubah sekirannya guru diberi latihan atau kursus ICT. Jimoyiannis dan Komis (2006) telah mengkaji kesan kursus ICT terhadap persepsi dan sikap guru terhadap ICT dalam pendidikan. Dapatan kajian mendapati majoriti guru bersikap positif terhadap kepentingan penggunaan ICT sebagai alat P&P. Mereka juga berasa ICT sangat penting dalam sistem pendidikan masa kini. Levin dan Wadmany (2006) pula telah mengkaji persepsi serta amalan guru dalam penggunaan ICT di bilik darjah. Dapatan kajian mereka menunjukkan persepsi guru mula berubah apabila mereka menggunakan ICT dalam bilik darjah. Persepsi guru berubah daripada negatif ke positif dan mereka seterusnya berasa lebih yakin menggunakan ICT dalam bilik darjah.

Kajian juga menunjukkan bahawa guru yang menggunakan pedagogi P&P tradisional tidak akan menggunakan ICT dalam P&P tetapi guru yang mengamalkan pedagogi konstruktivisme akan menggunakan ICT dalam P&P. Menurut Thompson (1992), hubungan antara sikap guru dan amalan pengunaan ICT dalam P&P merupakan hubungan satu hala atau hubungan dinamik 2 hala di mana sikap juga mempengaruhi pengalaman amalan penggunaan ICT dalam P&P.


Dapatan kajian juga telah menunjukkan guru enggan menggunakan ICT dalam P&P atas banyak alasan. Kelemahan reka bentuk perisian, skeptisisme tentang keberkesanan komputer dalam meningkatkan hasil pembelajaran, kurang sokongan pentadbiran, masa dan usaha yang diperlukan untuk belajar teknologi dan bagaimana menggunakannya untuk mengajar, dan takut kehilangan kuasa mereka di kelas kerana P&P berpusatkan pelajar (Hannafin, 1999; Savenye, 1993) adalah diantara beberapa masalah yang telah dikenal pasti. Sikap guru juga merupakan satu faktor yang menentukan keberkesanan penggunaan ICT dalam P&P. Menurut Dawes (1999), guru perlu mempunyai kemahiran komputer terlebih dahulu sebelum mengintegrasikan ICT dalam P&P. Malah, mereka juga perlu mengikuti perkembangan dan perubahan ICT dalam pendidikan. Guru memainkan peranan penting dalam menentukan keberkesanan penggunaan ICT dalam P&P dan seterusnya memastikan objektif KSPK tercapai.

ICT DALAM PENDIDIKAN AWAL PERSEKOLAH - KURIKULUM STANDARD PRASEKOLAH KEBANGSAAN

0 comments
PENDAHULUAN

Pendidikan prasekolah merujuk kepada Akta Pendidikan 1996 ialah program pendidikan bagi murid yang berumur dari 4 hingga 6 tahun (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013). Program dan kegiatannya mengikut garis panduan kurikulum prasekolah yang berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, yang diluluskan oleh Menteri di bawah seksyen 22. Tujuan pendidikan prasekolah ialah untuk memperkembangkan potensi kanak-kanak secara menyeluruh dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial melalui persekitaran pembelajaran yang selamat, menyuburkan serta aktiviti yang menyeronokkan, kreatif dan bermakna. Ini adalah untuk meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri dengan keadaan semasa, boleh menangani cabaran dan tanggungjawab di sekolah rendah kelak (Kurikulum, 2010).

Dalam pendidikan prasekolah, guru harus menggunakan pelbagai pendekatan aktiviti yang sesuai dengan perkembangan diri, kebolehan, keupayaan, bakat serta minat murid. Guru perlu menjalankan aktiviti yang melibatkan murid secara aktif supaya pembelajaran menjadi lebih bermakna, berkesan dan menggembirakan. Aktiviti tersebut perlu dirancang dan dikelolakan secara teliti dan sistematik bagi menjamin setiap murid mendapat peluang yang sama serta memperolehi pelbagai pengalaman pembelajaran sebenar sama ada secara individu, secara kelas ataupun secara kumpulan.

Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (Information and Communications Technology atau ICT) dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) prasekolah merupakan salah satu cara untuk meningkatkan keberkesanan P&P prasekolah. Kanak-kanak hari ini adalah generasi komputer (Papert, 1996). Teknologi boleh memainkan peranan penting dalam proses P&P kanak-kanak (Haugland & Wright, 1997). ICT menawarkan pendekatan baru untuk belajar dan penguasaan kemahiran baru. Oleh itu kanak-kanak perlulah didedahkan kepada ICT dengan cara yang bermakna.

Jika ICT tidak sepenuhnya diintegrasikan ke dalam kurikulum secara keseluruhan, ia boleh meninggalkan kesan negatif ke atas kreativiti kanak-kanak (Haugland, 1992). Menyedari hakikat ini, pada tahun 2002 program ICT (KPM, 2003) prasekolah diberikan keutamaan dan dijadikan sebahagian elemen penting di mana ia bukan sahaja telah diambil kira sebagai salah satu komponen dalam Kurikulum Prasekolah Kebangsaan(KPK) malah pendekatan P&P menggunakan ICT juga diutamakan.

Pada tahun 2008/2009 KPK disemak semula. Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) yang digubal diguna pakai mulai Januari 2010. KSPK digubal dengan memberikan penekanan kepada standard kandungan dan standard pembelajaran yang patut diketahui dan boleh dilakukan oleh kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun. Standard kandungan dan standard pembelajaran berpaksikan pengetahuan, kemahiran asas serta nilai dalam enam tunjang pembelajaran.

Tunjang-tunjang pembelajaran KSPK terdiri daripada :

(a)  Komunikasi
           Tunjang ini terdiri daripada Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Bahasa Malaysia dan Bahasa Inngeris adalah wajib dipelajari oleh semua kanak-kanak prasekolah. Bahasa Cina dan Bahasa Tamil dipelajari oleh kanak-kanak di prasekolah yang beraliran bahasa Cina dan bahasa Tamil. Bahasa Malaysia perlu diajar selama dua jam seminggu, manakala Bahasa Inggeris diajar selama dua jam seminggu di prasekolah yang bahasa pengantarnya Bahasa Malaysia dan satu jam seminggu di prasekolah yang bahasa pengantarnya bukan Bahasa Malaysia.

(b) Kerohanian, sikap dan nilai
Tunjang Kerohanian, Sikap dan Nilai merangkumi pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Pendidikan Islam dipelajari oleh murid beragama Islam selama dua jam seminggu. Pendidikan Moral dipelajari oleh murid lain selama dua jam seminggu.

(c)  Kemanusiaan
Tunjang Kemanusiaan memberi peluang kepada kanak-kanak supaya lebih memahami diri sendiri, lebih memahami perhubungan antara diri dengan keluarga, rakan, komuniti dan alam sekitar. Kanak-kanak juga akan lebih memahami tanggungjawab diri dalam perhubungan-perhubungan ini. Tunjang ini juga memberi penekanan kepada pemahaman budaya dan tradisi pelbagai kaum di Malaysia serta menggalakkan penglibatan dalam perayaan pelbagai kaum ini.

(d) Sains dan teknologi
Tunjang Sains dan Teknologi merangkumi awal sains, awal matematik, aktiviti pembinaan menggunakan objek seperti blok dan penggunaan ICT.

(e)  Perkembangan fizikal dan estetika
Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika merangkumi Perkembangan Fizikal dan Penjagaan Kesihatan serta Perkembangan Kreativiti

(f) Ketrampilan diri
Pendidikan Prasekolah memberi penekanan kepada perkembangan sosioemosi kanak-kanak. Kanak-kanak akan menghadapi masalah di prasekolah dan juga di sekolah rendah kelak jika sosioemosi merangkumi aspek mengenali dan pengurusan emosi sendiri, pencapaian emosi yang positif, pembinaan konsep kendiri yang positif serta pembinaan kemahiran berinteraksi dan kemahiran sosial. Perkembangan sosioemosi berlaku sepanjang masa kanak-kanak berada di prasekolah, ia tidak dicapai melalui aktiviti spesifik tetapi menerusi kesemua aktiviti sama ada aktiviti rutin, semasa rehat, semasa makan dan juga aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lain.


Kurikulum KSPK merupakan kurikulum yang berbentuk modular di mana ia merupakan satu kurikulum yang kandungannya diorganisasikan dan seterusnya disampaikan dalam bentuk bahagian atau unit yang dikenali sebagai modul. Terdapat dua jenis modul iaitu modul teras dan modul bertema. Modul teras terdiri daripada mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina/Bahasa Tamil, Pendidikan Islam/Pendidikan Moral dan Matematik. Modul bertema pula merupakan modul bersepadu yang merangkumi unsur-unsur dalam keenam-enam tunjang pembelajaran dan juga unsur kreatif, kritis dan inovatif. Modul Bertema dibina menggunakan isu kehidupan/peristiwa seharian kanak-kanak.

Guru prasekolah digalakkan menggunakan ICT dalam P&P merentas kurikulum. Pendekatan ICT digunakan untuk membantu proses P&P, memperolehi maklumat, berinteraksi dengan bahan untuk belajar sendiri dan bersama rakan sebaya dan memperkayakan pengalaman pembelajaran. Bagi menjayakan rancangan ini, Kementerian Pelajaran telah membekalkan kelas prasekolah dengan sistem komputer dan perisian untuk digunakan oleh pelajar-pelajar prasekolah (Lim Keat Heng, 2007).



ICT DALAM PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK - Kebaikan dan Keburukan

0 comments
Pengenalan :

Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) semakin memain peranan penting dalam kehidupan kita sehari-hari. Melalui ICT, dunia seolah-olah berada dalam satu ruang lingkup yang amat sempit kerana ia mudah dicapai dan diteroka. Dalam sistem pendidikan, ICT dikatakan mampu menyelesaikan masalah pengajaran dan pembelajaran secara berkesan.

         Bagi pengajaran pembelajaran kanak-kanak di prasekolah, ICT perlu diintegrasikan supaya proses pengajaran dapat berjalan dengan berkesan, menarik, mencabar dan interaktif. Kajian Clements (1987) serta Hough dan Ellis (1997) mendapati ICT boleh membantu kanak-kanak menghasilkan sesuatu yang kreatif.


TEKNOLOGI MAKLUMAT & KOMUNIKASI

                     Teknologi Maklumat Penggunaan teknologi moden /elektronik seperti komputer, rakaman audio, video dan cakra padat (CD) bagi menyimpan, menyusun, menukar dan mencipta maklumat Teknologi Komunikasi Penggunaan teknologi bagi menyebar dan menyampai maklumat melalui alat perhubungan modern seperti audio, satelit, internet, video conferencing, CD, multimedia. ICT perlu diintegrasikan dalam berbagai komponen, penggabungjalinan dengan bahan, persekitaran yang bersesesuaian dengan kebolehan, minat dan gaya pembelajaran kanak-kanak.

                      Matlamat ICT Mentransformasikan masyarakat Malaysia kepada masyarakat bermaklumat.  Peranti tambahan seperti CD Rom interaktif, teknologi video dan digital dapat menyediakan persekitaran media yang serba boleh untuk keperluan guru dan kanak-kanak. Ng Wai Kong, 1999 . Komputer dapat mengubah kaedah pembelajaran tradisional yang memerlukan guru memberi arahan kepada pendekatan hands-on dan menggunakan sepenuhnya sifat inkuari yang ada dalam diri kanak-kanak. Bill Gates, 1999


                    Apa dia ICT? Information & Communication Technology Teknologi Maklumat dan Komunikasi Suatu sistem bagi memudahkan manusia memenuhi keperluannya. Data yang tersusun. Proses saling menghantar dan menerima maklumat. Apa dia ICT? Manusia Alat Tatacara Sumber SISTEM Hard Technology Soft Technology. Apa dia ICT? Komputer Teknologi Maklumat Teknologi Maklumat & Komunikasi. Alat P&P Kurikulum PPBK Multimedia Internet Prasekolah ICT Dalam Pendidika.


TEKNOLOGI MAKLUMAT & KOMUNIKASI

                Teknologi Maklumat Penggunaan teknologi moden /elektronik seperti komputer, rakaman audio, video dan cakra padat (CD) bagi menyimpan, menyusun, menukar dan mencipta maklumat Teknologi Komunikasi Penggunaan teknologi bagi menyebar dan menyampai maklumat melalui alat perhubungan modern seperti audio, satelit, internet, video conferencing, CD, multimedia. Penggunaan ICT dalam P&P bermaksud menggunakan ICT secara terancang , bersesuaian , dan berfikrah untuk meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan P&P Konsep penggunaan ICT dalam P&P. ICT untuk pembelajaran tutoran ICT untuk pembelajaran penerokaan ICT sebagai aplikasi ICT sebagai pemudah komunikasi Adapted from Barbara Means classifications of technology use in learning, 1994 Pendekatan penggunaan ICT dalam P&P Kategori pengintegrasian ICT dalam Pengajaran dan Pembelajaran

                     ICT dikatakan untuk pembelajaran tutorial apabila diguna untuk menyampai kandungan pelajaran berdasarkan urutan yang telah ditetapkan. Pembelajaran tutoran ini merangkumi: Pembelajaran ekspositori – penjelasan terperinci Demonstrasi sesuatu fenomena yang ditunjukkan dan dikawal urutan babaknya oleh sistem, Latihan atau latihtubi yang disampai dan dikawal oleh sistem ICT untuk Tutoran  Penggunaan ICT untuk pembelajaran penerokaan berlaku apabila ICT digunakan sebagai medium untuk: mencari dan mengakses maklumat daripada CD-ROM, Internet, gerbang maklumat dll. mengalami, mempelajari dan mengkaji sesuatu fenomena secara simulasi melihat demontrasi sesuatu kejadian yang urutan babaknya boleh dikawal oleh murid ICT untuk Penerokaan.


                        ICT dikatakan diguna sebagai alat aplikasi apabila membantu murid melaksanakan tugasan pembelajaran, bukan sebagai mekanisma penyaluran maklumat p&p . ICT sebagai Aplikasi ICT dikatakan sebagai alat pemudah komunikasi apabila diguna untuk memboleh murid dan guru daripada lokasi yang berbeza menghantar, menerima dan berkongsi maklumat yang pelbagai bentuk. ICT sebagai Pemudah Komunikasi. Di mana kita? Prinsip penggunaan ICT ialah supaya pembelajaran yang optimum berlaku. terancang , sesuai dan berfikrah Bergantung kepada infrastuktur , perkakasan dan perisian yang ada.



KENAPA PENDEKATAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI ?

                   Pendekatan ini digunakan untuk: Membantu proses pengajaran dan pembelajaran; Memperolehi maklumat; Berinteraksi dengan bahan untuk belajar sendiri dan bersama rakan sebaya; dan Memperkayakan pengalaman pembelajaran ~Petikan drp Kurikulum Prasekolah Kebangsaan



CIRI CIRI KANAK KANAK PRASEKOLAH

                    Kanak-kanak 2-6 tahun peringkat pra operasi masih mengunakan deria (penglihatan dan pendengaran-audio visual) untuk mengumpul dan membina maklumat Bergantung kepada tanggapan serta merta kanak kanak (immediate perception) Pengetahuan kanak- kanak boleh dibina melalui interaksi dengan persekitaran atau bahan Mengetahui apa yang betul dan apa yang salah dengan cara mudah



PERKEMBANGAN OTAK KANAK KANAK PRASEKOLAH


                 Otak kiri khusus dalam resepsi (penerimaan) - pendengaran, dalam bahasa bercakap dan membaca dan mengira Otak kanan khusus dalam persepsi dan interpretasi (tanggapan & terjemahan) Umur 5 tahun otak kiri dan kanan sudah ada kordinasi Kedua otak perlu dirangsang melalui pelbagai aktiviti dan ICT boleh membantu nya. Manfaat penggunaan ICT dalam P&P Meningkatkan kefahaman terhadap pelajaran Memberi peluang pembelajaran yang sama Meningkatkan motivasi Membolehkan pembelajaran kendiri Mengakses maklumat yang sukar diperolehi Mewujudkan suasana pembelajaran seronok dan mencabar Melaksanakan eksperimen yang mahal, mustahil dan bahaya Meningkatkan kreativiti dan imaginasi Pembelajaran berkesan dengan bimbingan minimum Meningkatkan kemahiran ICT


KELEBIHAN ICT DALAM PENGAJARAN PEMBELAJARAN

1. Ianya amat menarik kerana bercorak interaktif.
2. Penilaian dapat dilakukan selepas sesuatu aktiviti selesai dijalankan.
3. Bahan dapat digunakan berulangkali.
4. Bahan boleh digunakan di mana kaedah tradisional tidak dapat dijalankan.
5. Dapat menggunakan pelbagai media seperti grafik, bunyi, audio dan video.



KEBAIKAN MENGUNAKAN ICT 
  • Penyertaan aktif oleh kanak kanak 
  • Mengikut kadar kebolehan sendiri 
  • Pengulangan kerja memberi pengukuhan 
  • Berkerjasama - pembelajaran koperatif 
  • Meneroka –dibidang baru 
  • Pengalaman konkrit – deria
  • Interaktif – antara komputer & kanak kanak
  • Latih tubi - tanpa jemu oleh komputer 


KEBAIKAN MENGUNAKAN ICT DENGAN STAIL BELAJAR KANAK-KANAK


Latih tubi-untuk meningkat kemahiran Latihan tutorial – untuk pemulihan Memberi simulasi keadaan tertentu Merasai suasana sebenar (gambar/grafik) Guna untuk tujuan khusus: Membetul perkataan Menyemak ejaan jawapan.

Kelebihan ICT Dalam P&P:
1. Pembelajaran berpusatkan kanak-kanak – penerokaan dan penemuan.
2. Membawa sikap positif – mereka ada peluang luas dalam aktiviti pembelajaran  
    berbanding tradisional.
3. Kanak-kanak dapat menimba ilmu dengan contoh praktikal.
4. ICT menyediakan kaedah dengan penekanan kepada penciptaan dan penerokaan      
    secara   

    aktif. Kanak-kanak mencari bukan menerima secara satu hala.
5. Ia menarik kerana bercorak interaktif.
6. Penilaian dapat dilakukan selepas aktiviti selesai.
7. Bahan dapat digunakan berulangkali . 


Namun sejauh manakah ICT boleh membawa manfaat kepada kanak-kanak khususnya dalam pendidikan awal kanak-kanak kerana ict juga boleh membawa keburukan kepada mereka.

Bagi ibubapa sekarang, terutamanya yang bekerja di kota metropolitan lebih cenderung bekerja daripada pagi hingga malam.  Kanak-kanak akan menjadi bosan kerana tiada kawan untuk mereka bermain jadi mereka memilih untuk bermain permainan dalam komputer.  Tugas mengasuh diberikan seratus peratus kepada orang gaji menyebabkan mereka tidak mendapat kawalan daripada ibu bapa mereka sendiri

Oleh kerana kanak-kanak ada sifat ingin tahu yang tinggi dalam diri mereka maka mereka akan terusan bermain sehingga dapat mengetahui apakah yang berlaku pada penghujung permainan itu.  Mereka boleh menjadi ketagih dalam permainan komputer.


Terdapat beberapa keburukan ICT dalam pendidikan kanak-kanak seperti :
  • Perkembangan mereka tidak akan berkembang kerana hanya duduk bermain komputer.
  • kanak-kanak dapat mengetahui perkara yang melangkaui batas umur mereka.  
  • kanak-kanak akan malas belajar dan cepat menjadi bosan dalam sesi pembelajaran.

Penggunaan ICT kepada kanak-kanak haruslah dengan bimbingan dan guru-guru juga harus kreatif menyampaikan pengajaran kepada mereka tanpa bergantung sepenuhnya kepada ICT.  Mencari maklumat dan teknik terbaru memanglah digalakkan kepada semua guru-guru di prasekolah namun jika disalahgunakan apa ertinya teknologi maklumat yang canggih sekiranya anak-anak didik kita mundur ke belakang dan tidak dapat berfikr ke arah pembentukan masa depan terutamanya dapat memajukan negara.

SEJARAH PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK

0 comments
Perkembangan Pendidikan Prasekolah Di Luar Negara.
Pendidikan prasekolah mula berkembang di Eropah pada abad ke 19 dan di Amerika pada abad ke 20. Ahli-ahli Falsafah Eropah yang terkenal seperti Johann Heinrich Pestalozzi, Friedrich Froebel dan Maria Montessori.Froebel adalah orang pertama mendirikan tadika di dunia iaitu di Negeri Jerman pada tahun 1837 dan menamakan tadika itu Kindergarten yang bermaksud “Garden of Children”. Prasekolah pertama didirikan di United Kingdom ditubuhkan oleh Robert Own pada tahun 1816 di Daerah Scotland dan diberi nama “The Infant School”.

Di Amerika Syarikat, Prasekolah pertama didirikan pada tahun 1850 oleh Carl Schruz dan seterusnya pada tahun 1860, Elizabert Peabody membuka tadika di Boston.
Penubuhan prasekolah di Eropah dan Amerika Syarikat tertumpu kepada kanak-kanak dari golongan yang berada sahaja. Manakala kanak-kanak yang miskin terbiar dan tidak mendapat pendidikan awal.

Di ASEAN, pendidikan prasekolah bermula selepas peperangan Dunia Kedua.
Pada tahun 1900an, prasekolah mula ditubuhkan di Filipina, Singapura dan Thailand sahaja. Manakala di Malaysia, perkembangan pendidikan prasekolah bermula pada tahun 1940 an.


Perkembangan Pendidikan Prasekolah di Malaysia
Zaman Sebelum Merdeka

Pada tahun 1940 an prasekolah mula dibuka oleh missionari Kristian dengan pendidikan berpengaruhkan British dengan mengenakan yuran yang sangat mahal dan anak-anak orang berada sahaja belajar di prasekolah itu.  Guru-guru prasekolah pula terdiri daripada bekas guru sekolah rendah yang tidak ada latihan dan pengalaman mengajar di prasekolah.


Zaman Selepas Merdeka
Pada tahun 1969, Yayasan Asia telah menyumbangkan wang kepada Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia bagi mendirikan prasekolah yang mirip kepada projek “Head Start” di Amerika Syarikat. Tadika ini telah ditubuhkan di Negeri Selangor iaitu di Kampung Muniady, Kg. Manggis dan Kg. Sentosa. Kumpulan sasaran terdiri daripada kanak-kanak yang kurang beruntung dari keturunan Melayu, Cina dan India.


Pada Tahun 1970,
KEMAS membuka 10 buah prasekolah contoh di kawasan luar bandar yang dikenali Tabika untuk membantu rakyat yang miskin di luar bandar .Diikuti dengan penubuhan prasekolah oleh FELDA, Risda (1980) dan Majlis Perhubungan Masyarakat (1976). Pada tahun 1972, Pusat Perkembangan Kurikulum telah menerbitkan Buku Panduan Pendidikan Prasekolah dan telah membuka 12 buah prasekolah percubaan di seluruh Malaysia.Tahun 1972 Maktab Perguruan Ilmu Khas, Ceras telah melatih seramai 137 orang guru-guru sekolah rendah dan guru-guru KEMAS dalam pendidikan prasekolah untuk mengajar di prasekolah.

KEMAS telah membuka Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) adalah selaras dengan Falsafah Baru Pembangunan Luar Bandar. Program ini memberi perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar, bandar dan pinggir bandar bagi golongan berpendapatan rendah dan miskin.

Tahun 1981, Yayasan Sabah telah menubuhkan Institut Guru-Guru Tadika di Pusat Perkembangan Kanak-Kanak dan mendapatkan khidmat nasihat daripada Universiti Malaya. Pada 18 Disember 1991, Jemaah Menteri telah bermesyuarat untuk membincangkan mengenai program prasekolah di Malaysia dan pada 27 Januari 1992, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mula bermesyuarat untuk membincangkan mengenai peluasan prasekolah. Kesan daripada mesyuarat di atas, maka Akta Pendidikan 1996, telah menyuarakan mengenai pendidikan prasekolah dalam sistem Pendidikan Kebangsaan. Kesan daripada akta pendidikan prasekolah, maka pada 6 Jun 2001, Jemaah Menteri bermesyuarat khusus untuk program peluasan prasekolah.

Selain daripada pertambahan bilangan prasekolah dari tahun ke tahun, bilangan peluasan prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia mengikut negeri juga bertambah dari setahun ke setahun.


Pandangan Tokoh-tokoh Pengasas Pendidikan Awal Kanak-Kanak
Terdapat pelbagai falsafah dan pandangan dari tokoh-tokoh bagi mengendalikan pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak pada peringkat awal. Pada pandangan anda, adakah pandangan ahli falsafah mempengaruhi pembentukan kurikulum untuk kanak-kanak pada peringkat awal?

Tokoh-tokoh pengasas pendidikan awal kanak-kanak adalah terdiri daripada;
1. Imam Al-Ghazali
2. Ibnu Khaldun
3. Johann Heinrich Pestalozzi
4. Friedrich Froebel
5. Maria Montessori

IMAM Al-GHAZALI
Dilahirkan pada 450 Hijrah bersamaan 1058 Masehi di sebuah kampung bernama Ghazalah Daulayah Qursan di Negeri Parsi. Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad Al-Ghazali. Tahun 484 Hijrah beliau dilantik sebagai Naib Canselor Universiti dan pensyarah di Universiti Pengajian Tinggi Nizamiah. Pada tahun 489 hijrah, beliau meletak jawatan dan pergi ke Syria dan ke Mekah. Kitab beliau yang termashur ialah Ihya Ulumuddin.

Pandangan / Idea-idea beliau:
·         Seorang kanak-kanak harus dididik sejak lahir. Seorang bayi jangan diberikan kepada orang lain menjaganya kecuali perempuan yang kuat agama dan mulia tingkah lakunya.
·         Didik kanak-kanak dengan pelajaran agama, adab sopan, adab makan minum, mencuci badan, berwuduk dan bersembahyang.
·         Didik kanak-kanak supaya memperolehi tingkah laku yang mulia, merendah diri, tidak berbohong, bersederhana dalam perlakuan, tidak berkawan dengan orang jahat dan tidak berbangga.
·         Bersikap tegas dengan kanak-kanak, jangan biasakan mereka bersenang-senang, jangan berseronok atau bermanja-manja apabila bergaul dengan mereka.


  • Tidak boleh keterlaluan bila mendenda kanak-kanak. Jangan mencemuh dan
menimbulkan kebencian mereka.


  •      Memperelokkan fitrah dan membentuk naluri mereka.
  •      Suruh kanak-kanak bermain kerana main pada kanak-kanak dapat:
-        Membantu perkembangan fizikal serta menguatkan otok mereka.
-        Sifat semulajadi kanak-kanak memang suka bermain.
-        Dapat menggembirakan mereka serta memberi kerehatan selepas
penat belajar.

Nasihat beliau kepada guru supaya:
  • Mengajar mengikut kemampuan kanak-kanak.
  • Memperbaiki perlakuan dengan mesra bukan dengan cara menempelak mereka.
  • Guru tidak perlu mengharapkan ganjaran tetapi perlu menunjukkan model tingkah laku yang baik.



IBNU KHALDUN
Ibnu Khaldun merupakan seorang pemikir Islam yang terakhir pada zaman pertengahan telah menasihatkan ibu bapa dan golongan pendidik.
Beliau banyak memperkatakan mengenai persediaan untuk belajar, pemerhatian, motivasi, berusaha, pengukuhan, perbezaan individu dan latihan.

Pendapat beliau pada peringkat permulaan:
  • Jangan diajar kanak-kanak dengan perkara-perkara yang susah.

Belajar daripada mudah kepada yang lebih susah secara:
  • Berperingkat-peringkat
  • Mengadakan latih tubi
  • Menggunakan benda-benda maujud
  • Menggunakan bahan-bahan bantu mengajar
Kanak-kanak jangan dibebankan dengan perkara-perkara yang diluar kemampuan mereka. Ini boleh menyebabkan mereka:
  • Tidak mahu belajar
  • Mencerca pengajaran yang diberi
Beliau mencadangkan kanak-kanak di peringkat prasekolah hendaklah diberi contoh-contoh yang konkrit yang boleh difahami melalui pancaindera mereka.
Ibnu Khaldun juga menyarankan pembacaan Al-Quran harus diajar sebelum menghafalnya. Apabila sampai umur tertentu dan sesuai dengan daya pemikiran barulah diajar tafsir, hukum dan lain-lain.
Jadual pembelajaran harus disusun dengan baik supaya kanak-kanak dapat memahami apa yang disampaikan.

Kanak-kanak harus dibentuk dengan penuh kasih sayang, lemah lembut dan bertimbang rasa bukannya dengan cara kekerasan kerana ini boleh menyebabkan mereka menjadi pemalas, pembohong, berlagak untuk menyembunyikan yang sebenar, membuat tipu helah dan tidak berperikemanusiaan.

Masa belajar jangan terlalu panjang kerana boleh menyebabkan lupa, sebaliknya dalam waktu yang pendek serta cara yang betul bagi mendapat hasil pembelajaran yang baik.
Bahasa adalah asas kepada semua kanak-kanak semasa pembelajaran. Mulailah dengan menulis dan membaca, kemudian kaitkan dengan makna.



Pendekatan Ibnu Khaldun merupakan contoh pendekatan yang baik dalam membentuk peribadi kanak-kanak.

SEKILAS PANDANG....Tentang Saya

0 comments




Assalamualaikum
Salam perkenalan dari saya.. Ini kali pertama saya menulis blog.. Saya berasa sangat teruja dan sedikit gugup. Izinkan saya memperkenalkan diri saya serta menceritakan sedikit tentang diri saya.  Saya bernama Rosniaida binti Mohamad.  Boleh panggil Aida atau Cikgu Aida..

Saya mendapat Diploma Pendidikan di Institut Perguruan Raja Melewar di Negeri Sembilan dalam bidang Prasekolah Pengajian Melayu.  Sekarang saya menyambung pengajian ijazah dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak (B.ECE) di "Management Science University".

Saya bermula sebagai seorang guru di SK Sementa, Kapar, Klang, Selangor dari tahun 2006 sehingga Jun 2010.  Kini saya berkhidmat sebagai Guru Prasekolah di SK Kok Pasir dari Jun 2010 hingga sekarang.  Sepanjang saya berkhidmat di SK Kok Pasir, Prasekolah kami iaitu Prasekolah Bestari telah berjaya memperoleh '5 Bintang' dalam "Penarafan Prasekolah Berbintang" Peringkat negeri Kelantan pada tahun 2012.

Minat saya yang cukup mendalam dalam bidang keguruan telah membawa saya memilih bidang perguruan berbanding dengan pekerjaan lain.  Antara sebab-sebabnya adalah saya "Suka Kepada Kanak-kanak".  Saya mahu mendidik mereka dengan baik supaya mereka berjaya dalam pelajaran dan menjadi aset negara.
  • Kanak-kanak seorang yang telus, lurus, tidak pandai berbohong.
  • Ingin meneroka dunia kanak-kanak yang pelbagai ragam, suka melihat kerenah kanak-kanak yang lincah ceria dan manja.
  • Ingin mendidik mereka kerana pemikiran mereka masih bersih, suci, mudah dilentur.
Ragam kanak-kanak yang pelbagai menghiburkan terutama bila ada persembahan pentas, sesi bercerita, sambutan hari kanak-kanak dan sebagainya.

Satu perkara yang buat saya rasa best sangat jadi cikgu prasekolah bila ada ibu bapa datang bagitahu betapa pandainya anak dia...sebelum ni tak pandai mengeja, sekarang dah boleh membaca dengan lancar.  Betapa puasnya hati saya..seronok sangat jadi cikgu prasekolah..sebab anak-anak kecik itu sering menjadi penghibur hati...biarlah pihak atas buat perangai.. bila jumpa kanak2 tu jadi sejuk hati.. hurm.. :) hargailah guru  anda...